Cool WidgetsStun MeStun Me

Wednesday, 4 April 2012

Aku pergi kerana Allah ~ Ammar Aminuddin


Hujan lebat mengguyur  bumi. Malam sudah lewat. Huda masih termenung di sisi katil ditemani ayat-ayat al-Quran di hujung telinga. "Wahai Allah, mengapa dia hadir ketika ini? ketika tanah masih belum kering dengan hujan kesedihan? " monolog huda kepada Rabbi.
Pertunangan Huda bersama Haikal tidak kekal ke jinjang pelamin. Mungkin tiada jodoh. Huda redha dengan ketentuan Allah, kerna dia sedar Allah adalah sebaik-baik perancang. Namun , kesedihan itu berlarutan apabila dia telah menerima mesej ringkas milik seorang muslimin yang dia cukup kenali.
" Miftahul Huda bt Hashim, boleh ana minta nombor telefon walimu? Kerana ana benar-benar ikhlas untuk menjadikan puterinya ini sebagai pemaisuri hidup ana sampai syurga..InsyaAllah..~ Ammar Aminuddin"
Huda masih tidak dapat melelapkan mata dek kerana tamparan hebat dari sms itu. Dia kenal benar dengan penghantar sms itu. Ammar Aminuddin . Seorang muslimin yang pernah memikat hatinya 15 tahun yang lalu sewaktu mereka masih setahun janggung menuntut di SMA (Sekolah Menegah Agama) .
Perasaan Huda bercampur baur. Marah, benci , sakit hati dan semuanya perasaan yang negatif kepada Ammar. Bagi Huda itulah pemuda yang telah merosakkan hidupnya. Kenangan itu sudah lama dikuburkan dari sudut hatinya . Namun malam itu, dengan mudah peristiwa itu terungkai bagai paparan filem dari mindanya.
15 tahun yang dulu, Ammar dan Huda ibarat pena dan kertas. Secocok sekali . Sama-sama pandai, sama-sama cantik. Permulaan perhubungan mereka hanyalah sakat -sakat nakal daripada teman-teman . Namun, gurauan bertukar kenyataan . Dalam diam mereka benar-benar sudah jatuh hati. Namun , bunga tidak selalunya harum. Taman tidak selalunya indah. Cinta kepada manusia juga tidak selalunya bahagia.
Seusai majlis akhir tahun , Ammar meminta Huda  berjumpa dengannya untuk sekian kali namun Ammar berpesan agar membawa teman.  Kata Ammar , ingin memberikan sesuatu sebagai kenangan kerana dia tidak akan meneruskan pengajiannya di SMA untuk tahun hadapan . Huda turutkan saja walau hatinya takut-takut untuk pergi kerana dia tidak pernah bertemu muka bersama Ammar.  Pada awalnya , Huda ditemani Fatimah sahabat karibnya. Tiba-tiba Fatimah mengadu sakit perut lalu pulang ke asrama . Huda takut Ammar menunggunya lalu dia pergi ke taman seorang diri." Sekejap je, lepas ambil hadiah tu , balik lah," bisik hatinya. Namun tidak dia menyangka malam itu merupakan tanda hitam yang tercalit pada takdirnya. Ustaz Azmi yang kebetulan lalu di taman, menyalah anggap perbuatan mereka .
" Ustaz...bukan salah saya...kami tidak buat apa-apa.." rayu Huda teresak-esak menahan tangisan. Namun pada saat itu Ammar hanya tunduk tidak berkata walau sepatah untuk membela Huda dan dirinya. Seakan-akan mereka benar-benar merancang untuk melakukan perkara itu. " Ustaz, sumpah !! Demi Allah , saya tidak buat apa-apa..saya cuma " kata-katanya terhenti di situ. " Aku cuma??? ...mengambil hadiah dan berjumpa seorang ajnabi pada waktu malam di tempat yang sunyi??" ....Di situ , baru dia tersedar..Dia yang mengundang fitnah dan bukan salah takdir. Huda redha.
Ammar pergi meninggalkannya . Entah kemana. Meninggalkan palit duka di wajahnya. Huda menanggung malu seorang diri di situ. Segala sindiran daripada guru-guru ditelannya. Segala kutukan dan kejian daripada teman-teman diterimanya. Pada ketika itu, dia bagai ingin pergi jauh...Jauh seperti Ammar. " Ammar, sampai hati kau tinggalkan aku begini."Huda hanya mampu menerima segala kepahitan itu dengan Redha.
Sepanjang 2 tahun di SMA , Huda belajar bersungguh-sungguh untuk membuktikan bahawa dia juga mampu berjaya. Dia juga ingin berjaya agar guru-guru tidak terus-menerus kesal dengannya. Dia ingin memberikan kejayaan itu buat abah dan ummi agar arang dimuka mereka hilang dengan sendiri. Dia ingin berjaya agar duka di hatinya terubat sendiri . Dia ingin berjaya untuk menakluk semula 'hati' Allah agar hidupnya kembali berada dalam RAHMANNYA.
Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 25,
" Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di dalam hatimu. jika kamu orang yang baik , maka sungguh , Dia Maha Pengampun kepada orang yang bertaubat "
Kini , dia bergelar siswazah yang memegang ijazah lulusan Akademik Pengajian Islam di Universiti Malaya. Sehingga kini , Miftahul Huda tidak tahu di mana Ammar Amminuddin.
Ammar hanya memerhatikan tafsir merah jambu yang masih elok di sisi mejanya. "Huda, inilah hadiah yang ingin kuberikan padamu pada malam itu. Aku berniat untuk menamatkan perhubungan kita yang salah itu dengan pemberian ini. Tidakku sangka Allah telahpun merancang untuk memisahkan kita. Aku redha andai itu yang terbaik untuk kita. Huda, aku mengerti andai kau membenciku kerna aku meninggalkan dirimu sendiri menanggung malu. Andai aku mampu untuk menjadi telingamu waktu itu, agar kau tidak mendengar walau sepatahpun kata-kata mereka. Andai aku mampu untuk melindungi dirimu dari dikeji dan dihina oleh mereka. Maafkan aku, Huda. Aku tahu kamu muslimah yang tabah.Huda, aku pergi kerana Allah". Bagi Ammar, penyesalan tidak berguna kerna Dia yakin dengan Allah kerna Allah mengetahui apa yang terbaik untuk hambaNYA.
Firman Allah dalam surah an nisa' ayat 19
  "....... kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya"
Dan benarlah takdir Allah itu Maha Hebat. Ammar merupakan teman sekuliah Haikal di Universiti Mansoura , Mesir. Ammar menceritakan segalanya kepada Haikal dan Haikal telah   memutuskan pertunangan dengan Miftahul Huda walaupun dilarang Ammar. Bagi Haikal mungkin dia adalah perantara bagi Huda dan Ammar dan dia tidak kecewa walau sedikit pun kerana dia yakin Allah akan takdirkan yang lebih baik untuknya.
Seusai istikharah, barulah Huda mampu untuk melelapkan mata. Dalam mimpinya, Ammar datang menghulurkan tafsir merah jambu dengan senyuman kepadanya. Wajah Ammar redup sekali dengan jubah putih yang dipakai. Mimpi itu datang berulang-ulang kali pada malam yang berikutnya. Sejak itu hati Huda seakan-akan dibuka untuk Ammar. Sememangnya benarlah bahawa kita hanya mampu merancang tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang.
Alhamdulillah, Ammar Aminuddin dan Miftahul Huda dikurniakan dua cahaya mata. Aiman Hakim dan Nur Insyirah . Kini kebahagiaan milik mereka . Perpisahan kerana Allah itu lebih baik kerana pasti Allah akan meredhainya. 

Monday, 2 April 2012

Sedarkah kita nikmat itu ujian?


~Apabila nikmat itu bertukar ujian~
Mawar itu cantik tapi ia berduri.


Kini genap 4 bulan...Cepat benar masa berlalu . Zaman penantian keputusan SPM juga telah berakhir. Aku tercari-cari apakah hikmahnya Allah tempatkan aku di sini? Selama 4 bulan aku duduk berehat di rumah , adakah ia berbaloi? Pernah seketika hati ini berasa sebal dan kesal kerana aku rasakan amalanku makin berkurang , walaupun masaku semakin bertambah. Padahal ,kehidupan yang sibuk dulu masih dapat aku aturkan untuk memperbaiki amalan sehari. Mengapa kini tidak? Soalan itu berlegar-legar di minda. Sehingga pernah aku terfikir, mengapa Allah tidak tempatkan aku di tempat yang dikelilingi orang soleh? Seperti sahabat-sahabatku yang lain, agar hati ini lebih terpelihara? Terbit rasa cemburu buat mereka. Mengapa Allah tidak pilih aku? Hampir setiap malam aku menangis , mencari di mana hilangnya kekuatan? di mana hilangnya ketenangan? di mana hilangnya kebahagiaan? Tidak sampai beberapa ketika aku menyelak surat cinta Allah (al-Quran) , hatiku tersentak kerana Allah menjawab segala pertanyaanku dalam surah an nisa' ayat 19
  "....... kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya"

 Benarlah Allah itu Maha Mendengar , Allah itu mendengar setiap keluh kesah hambaNYA.DIA tidak akan membiarkan hambaNYA kesepian dan kesedihan.Kini aku yakin Allah telah merancang sesuatu yang terbaik buatku. Hati dan jiwaku terasa disentuh dengan lembut sekali dengan tarbiah dari AR-RAHMAN.


Firman Allah ," Dia memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.Barang siapa diberi hikmah,sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal yang sihat." Surah al-baqarah _ayat 269.

Kini aku sedar hikmahnya. Allah berikan aku nikmat masa lapang , agar aku dapat melaksanakan tanggungjawabku sebagai anak sebaik mungkin . Kerana  selepas ini, mungkin  Allah akan aturkan sesuatu yang lain buatku sehingga masaku bersama ayah, ibu serta saudara-saudaraku lebih singkat berbanding kini. Ya, aku harus berbakti kepada mereka agar masa ini tidak aku buang dengan sia-sia. Inginku niatkan semua perbuatanku ini agar ia menjadi ibadah. Wahai Allah terimalah segala amalanku , walau aku tahu ia tidak sempurna dan serba kekurangan. Alhamdulillah, sesaat gelap yang dulu sudah berakhir. Kini Aku ikhlas dan redha menerima semua KetentuanNya kerna aku yakin DIA tahu apa yang terbaik . Aku juga faham bahawa segala kepahitan , kesenangan dan kebahagian akan berakhir. Jadi , harus aku syukuri semuanya.Sesaat dulu akan hilang dan sesaat yang baru akan muncul memberi sinar baru. Harus aku jadikan hari esok lebih baik dari semalam agar aku tidak lagi tersepit di celah-celah kegelapan nikmat masa. Begitu berat apabila nikmat itu menjadi ujian kerana mungkin kita tidak mampu mengurus nikmat agar ia menjadi berkat .
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Hati gersang ibarat mawar indah yang layu

Jika dulu, masa lapang itu dirasakan nikmat sekali,
 Andai dapat dinikmati setiap hari,
 Jika dulu,makanan yang sedap itu kelihatan nikmat sekali.
Andai dapat dinikmatinya setiap hari.,
Jika dulu, rebahkan badan yang lenguh duduk sekian lama menelaah itu nikmat sekali.,
Andai dapat dinikmatinya setiap hari,
Jika dulu, dapat beriadah  dan bergembira itu terasa nikmat sekali,
Andai dapat dinikmatinya setiap hari,
Kini Allah berikan nikmat masa lapang itu sekian kali,
Namun mengapa sekarang dirasakan nikmat itu berlalu pergi?
Segalanya seakan-akan biasa dan membosankan.
Sehingga akal tidak mampu untuk berfikir ,
Kemana harus ku bawa masa ini?
Akhirnya, masa itu kuserah pada nafsu,
Sehingga keseronokan itu kurasa setiap hari,
Namun masih tidak puas nafsu membawa masa pergi,
Sehinggakan masa itu berlalu pergi tanpa disedari,
Sehingga kini penyesalan tidak berguna lagi,
kerana masa tidak akan kembali,
dan nafsu semakin liar di hati,
sukar untuk kutundukkan kembali,
Kini, hanya tangisan untuk Rabbi,
Sebagai taubat di sudut hati yang ingin kembali.
                nukilan ~ fathin faziera bt mansor

Benarlah firman Allah,
 " Dan aku tidak menyatakan diriku bebas dari kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan , kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku , Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun , Maha Penyanyang._surah Yusuf ayat 53.

Saturday, 4 February 2012

BIODATA Ringkas RASULULLAH SAW


                          ~kEkAsiH ALLAH MuhAMMaD~





Nama : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Tarikh lahir : Subuh hari Isnin, 12 Rabiulawal bersamaan  20 April 571 Masehi (dikenali sebagai   Tahun Gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Kaabah).
Tempat lahir : Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah.
Nama bapa : Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hashim.
Nama ibu : Aminah binti Wahab bin Abdul Manaf.
Pengasuh pertama : Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa   Rasulullah SAW).
Ibu susu pertama : Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab).
Ibu susu kedua : Halimah binti Abu Zuaib As-Saadiah (lebih dikenali Halimah As-Saadiah.  Suaminya bernama Abu Kabsyah).

USIA 5 TAHUN
Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di dalam hatinya.
USIA 6 TAHUN
Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa ' (sebuah kampung yang terletak di antara Makkah dan Madinah). Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya Abdul Muttalib.
USIA 8 TAHUN
Datuknya, Abdul Muttalib pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.
USIA 9 TAHUN  (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.  · Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.
USIA 20 TAHUN
Terlibat dalam peperangan Fijar . Ibnu Hisyam di dalam kitab ' Sirah ' , jilid1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.  Menyaksikan ' perjanjian Al-Fudhul ' ; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.
USIA 25 TAHUN
Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.  Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah.  Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.  Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.
USIA 35 TAHUN
Banjir besar melanda Makkah dan meruntuhkan dinding Kaabah. Pembinaan semula Kaabah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Makkah.  Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ' Hajarul-Aswad ' ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.
USIA 40 TAHUN
Menerima wahyu di gua Hira ' sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.
USIA 53 TAHUN
Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.   Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.
USIA 63 TAHUN
Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11Hijrah/ 8 Jun 632 Masihi.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW
Khadijah Binti Khuwailid.
Saudah Binti Zam'ah.
Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar).
Hafsah binti ' Umar (anak Saidina ' Umar bin Al-Khattab).
Ummi Habibah Binti Abu Sufyan.
Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah).
Zainab Binti Jahsy.
Maimunah Binti Harith.
Safiyah Binti Huyai bin Akhtab.
Zainab Binti Khuzaimah (digelar ' Ummu Al-Masakin ' ; Ibu Orang Miskin).

ANAK-ANAK RASULULLAH SAW
Qasim
Abdullah
Ibrahim
Zainab
Ruqaiyah
Ummi Kalthum
Fatimah Al-Zahra '

ANAK TIRI RASULULLAH SAW
Halah bin Hind bin Habbasy bin Zurarah al-Tamimi (anak kepada Saidatina Khadijah bersama Hind bin Habbasy. Ketika berkahwin dengan Rasulullah, Khadijah adalah seorang janda).

SAUDARA SESUSU RASULULLAH SAW
IBU SUSUAN/SAUDARA SUSUAN
Thuwaibah
Hamzah
Abu Salamah Abdullah bin Abdul Asad

SAUDARA SUSUAN
Halimah Al-Saidiyyah
Abu Sufyan bin Harith bin Abdul Mutallib
Abdullah bin Harith bin Abdul ' Uzza
Syaima ' binti Harith bin Abdul ' Uzza
' Aisyah binti Harith bin abdul ' Uzza

BAPA DAN IBU SAUDARA RASULULLAH SAW
(ANAK-ANAK KEPADA ABDUL MUTTALIB)

Al-Harith
Muqawwam
Zubair
Hamzah ***
Al-Abbas ***
Abu Talib
Abu Lahab (nama asalnya Abdul Uzza)
Abdul Ka ' bah
Hijl
Dhirar
Umaimah
Al-Bidha (Ummu Hakim)
Atiqah ##
Arwa ##
Umaimah
Barrah
Safiyah (ibu kepada Zubair Al-Awwam) ***

*** Sempat masuk Islam.
## Ulama berselisih pendapat tentang Islamnya.

Sabda Rasulullah SAW:

"Sesiapa yang menghidupkan sunnahku, maka sesungguhnya dia telah mencintai  aku. Dan sesiapa yang mencintai aku nescaya dia bersama-samaku di dalam  syurga." (Riwayat Al-Sajary daripada Anas )
                                                   
                                                  Nabi Muhammad SAW - Manusia agong
KENALI NABI MUHAMMAD S.A.W. SECARA LAHIRIAH.  
Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda.
Di antara kata-kata apresiasi para sahabat ialah:

·               Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah saw
·               Aku melihat cahaya dari lidahnya.
·               Seandainya kamu melihat Baginda, seolah-olah kamu melihat matahari terbit.
·               Rasulullah jauh lebih cantik dari sinaran bulan.
·               Rasulullah umpama matahari yang bersinar.
·               Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah.
·               Apabila Rasulullah berasa gembira, wajahnya bercahaya spt bulan purnama.
·               Kali pertama memandangnya sudah pasti akan terpesona.
·               Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat.
·               Wajahnya seperti bulan purnama.
·               Dahi baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya.
·               Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
·               Mata baginda hitam dengan bulu mata yang panjang.
·               Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
·               Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
·               Mulut baginda sederhana luas dan cantik.
·               Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
·               Apabila berkata-kata, cahaya kelihatan memancar dari giginya.
·               Janggutnya penuh dan tebal menawan.
·               Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca.
·               Warna lehernya putih seperti perak, sangat indah.
·               Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya.
·               Rambutnya sedikit ikal.
·               Rambutnya tebal kdg-kdg menyentuh pangkal telinga dan kdg-kdg mencecah bahu tapi disisir rapi.
·               Rambutnya terbelah di tengah.
·               Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat.
·               Dadanya bidang dan selaras dgn perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih drpd biasa.
·               Seimbang antara kedua bahunya.
·               Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya, jarinya juga besar dan tersusun dgn cantik.
·               Tapak tangannya bagaikan sutera yang lembut.
·               Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik.
·               Kakinya berisi, tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air.
·               Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
·               Warna kulitnya tidak putih spt kapur atau coklat tapi campuran coklat dan putih.
·               Warna putihnya lebih banyak.
·               Warna kulit baginda putih kemerah-merahan.
·               Warna kulitnya putih tapi sihat.
P/S : SEGALA KESILAPAN FAKTA HARAP DIBETULKAN..
source: bloger

Thursday, 2 February 2012

Keranamu CINTA...


cintaku padamu akan kupelihara


Bulan itu kulihat dengan penuh makna. Wahai Allah, bulan itu masih terang seperti dahulu..Apakah ini satu ujian buatku? Cahayanya cukup mempersona sehingga mampu membuai perasaanku jauh dari Penciptanya. Aku ini hambaMu yang lemah..ampunkan aku Ya Allah..tidak dapat kusembunyikan daripadaMu perasaan ini.Tidak dapat aku elakkan rasa cintaku padanya ketika ini. Tidak dapat kuhilangkan bayangannya dari tidurku. Wahai Allah , adakah ini ujian buatku?
Wahai Allah , aku cuba..aku cuba sedaya upayaku untuk aku terus mempertahankan cinta ini agar ia tidak jatuh lagi ke dalam jurang cinta nafsu. Kerna aku terlalu mencintaiMu..Aku ingin terus mujahadah pada cinta ini. Kerna aku mahu capai RedhaMu..Aku cuba tepis bayangannya dari khayalanku. .Aku biarkan lafaz cintaku terpendam di lubuk hatiku. Aku lupakan niatku untuk menuturkan sayangku untuknya..Aku cuba mengendahkan cintanya agar aku tidak leka dan membiarkan CintaMu....Aku biarkan air mataku menitis kerna dia tidak lagi denganku...Aku cuba sedaya upayaku untuk menghilangkan bayangku dalam hidupnya ..walau ia sakit dan pedih..kerna aku tidak sanggup biar dia leka dengan fitnah dunia ini...aku tidak mahu menjadi FITNAH buat dirinya...Kerna aku mahu hidupnya bahagia dalam RedhaMu..Ya Allah bantulah aku..aku mahu tetap mujahadahkan cinta ini..agar ia tetap suci..Aku tidak mahu Syaitan merosakkannya..Wahai Allah..bantulah aku..
Andai dia bukan milikku, biarkan cinta ini menguatkan aku untuk terus berjuang..Agar aku nikmati cintaMu yang lebih indah daripada segalanya..Mujahadah ini adalah pengorbananku yang terindah..Walau pengorbananku tidak seagung Nabi Ibrahim dan Ismail, namun hanya ini yang aku mampu.. Walau dia bukan milikku, biarkan aku simpan semua rasa cinta ini untuk yang halal buatku..Wahai Allah..aku ini hambaMu yang hina dan lemah...pimpinlah diriku..kerna aku mahu terus mujahadah..kerna CintaMu aku mahu terus mujahadah..Izinkan aku pelihara CINTA ini.
                                                           
                                                           " Jika kamu sayangkan dia,
Mujahadahlah pada CINTA,
Jika kamu sayangkan diri,
Mujahadahlah pada NAFSU,

Jika kamu sayangkan islam,
Mujahadahlah pada ILMU,
Jika kamu sayangkan ALLAH,
ikhlaslah dalam setiap MUJAHADAHMU..."

Setiap yang hadir itu pasti ada hikmahnya. Jangan kamu nafikan cinta yang hadir. Kerna CINTA ITU FITRAH..Namun nafsulah yang mencemarkannya lantas kamu biarkan CINTAMU MENJADI FITNAH..padahal pada dasarnya ALLAH ciptakan CINTA untuk menimbulkan keamanan sesama manusia..Oleh itu, jadikan CINTAMU BARAKAH pada yang selayaknya..Namun andai cinta itu tidak berakhir dengan perkahwinan, ikhlaskanlah kerna PERKAHWINAN BUKAN MATLAMAT CINTA..Kerna kamu telah memperolah hikmah yang banyak sepanjang CINTA ITU HADIR..

Akhir kalam, kusisipkan sajak indah nukilan Fatimah Syarha Nordin untukmu...
Tak mampuku dustai rasa ini,
Cukuplah dengan pertautan hati,
Belum masanya berhubung saban hari,
Kuawasi anggota dan hati ini,
Kerna takutkan ilahi,
Aduh!!
Beratnya menggalas rasa cinta,
Tatkala pacaran jadi budaya,
Mujurlah wahyu penunjuk cara,
Jangan diikut sebahagian besar manusia,
Cintaku bukan cinta murahan,
Jati diri benteng pertahanan,
Cabaran komunikasi kutundukkan,
Mengawal hati formula kekuatan,
Ku berazam pada diri,
Ku ingin mahligai kasihku berdiri,
tanpa kenangan cinta yang dicemari,
tanpa noda kemurkaan ilahi,
kuingin hadiahkan cinta suci,
buat insan yang kunikahi,
dengan ALLAH sebagai juri,
bukan nilaian nafsu sendiri..

Saat Terakhir di Pulau Mahsuri


Hatiku berat untuk meninggalkan keindahan Pulau Mahsuri . Moga memori ini akan kekal menjadi mahabah cintaku padaNYA..


26 Disember 2011
Akhirnya perjalanan ini hampir sampai ke penghujungnya . Terima kasih tuhan kerana izinkan diri ini untuk menggamati ciptaanMu. Di dalam kereta , fikiranku terlayang dengan seluruh keindahan yang menghiasi mata ini. Mataku tidak pernah lenggang daripada menyaksikan bukit kapur  di Ipoh dari cermin tingkap kereta. Walaupun sekeliling alam ini gelap dan hanya dihiasi bulan namun keindahan bukit kapur ini makin teserlah . Bukit ini tetap utuh berdiri dengan kecantikannya tersendiri. putih warnanya seakan-akan memancar apabila menerima refleksi dari sang bulan. Subhanallah. sungguh ia tidak diciptakan oleh Sang Khaliq dengan sia-sia.
Mata ini tidak mahu lelap.Aku mahu menyaksikan keindahan ini untukku belajar mensyukuri nikmatNYA . Aku dongakkan pula mataku ke langit dunia yang dihiasi gemerlapan bintang yang menyembunyikan seribu rahsia milik  Penciptanya. Jarang sekali bintang sebegini banyak menghiasi langit - langit di bandar. Mungkin keindahan ini hanya dapat disaksikan oleh mereka yang terpilih. Bintang , bulan , bukit , sungai , lautan .. Keindahan ini merupakan bukti kebesaranNYA . Aku terfikir sejenak, Mengapa aku masih terleka ? sedangkan sudah banyak keindahan dan kebesaran al-Rahman sudah ku saksikan? Padahal rasullullah tinggal di padang pasir yang gersang . baginda tidak menyaksikan sebanyak ini keindahan ciptaan kekasihnya , namun kepercayaan baginda kepada Al-Malik tetap utuh ..Tidak seperti aku..hamba yang hina dan tidak bersyukur. Bingkisan bisikan malam itu benar-benar membuatkan air mata in luruh ke bumi. Ya Allah andai ini saat terakhir aku menyaksikan keindahan ciptaanMu di muka bumi ini...Aku redha..

Cahaya di ufuk timur


24 Disember 2011


Pokok-pokok rhu di sepanjang pantai seperti tersusun rapi mengindahkan pemandangan. Anak-anak kecil kelihatan gembira mengocak air di teluk rhu itu.Airnya tidak dalam walaupun sudah hampir 10 meter ke dalam laut. Kerna benteng-benteng pasir seakan timbul pabila air surut. Tambahan pula kawasan teluk itu hampir tiada ombak yang kuat .


Pada saat itu , aku menguis pasir yang putih dan halus dengan jari-jemariku. Tanganku terlalu asyik menikmati kelembutan pasir itu hingga tidak sedar alam sekeliling mula berubah.Terkesima diriku seketika pabila menyaksikan terbenamnya Sang Mentari untuk pertama kali. Sepanjang ufuk itu dapat kusaksikan cahaya yang hampir malap. Aku mula sedari malam pula kan silih berganti. Keindahan itu akan hilang dan kegelapan akan muncul. Puas aku merayu agar biar ada cahaya di ufuk itu namun ia tetap pergi. Di saat aku hampir berputus asa mencari apa maknanya hidup ini, Tuhan hadirkan bintang-bintang yang lebih indah dari mentari. Kini aku faham takdir Tuhan yang penuh dengan rahsia dan hikmah..Maka, kubiarkan saja cahaya di ufuk timur pergi..


Disfasia di Tasik dayang bunting

23 Disember 2011
Ketika itu , tutur bicaraku terkunci rapat. Tak mampu untukku tafsirkan keindahan itu. Hanya mata yang mampu menyaksikannya. Subhanallah, itulah bukti kekuasaan Allah yang menciptakan segalanya.
Pulau Dayang Bunting merupakan pulau yang tercantik di antara 99 buah pulau lain di sekitar langkawi. Fakta itu ternyata benar apabila mata ini yang membuktikannya. Apa yang mengangumkanku bukanlah hanya strukturnya yang seakan perempuan mengandung namun keindahan yang terbentuk di dalamnya. Pulau yang indah itu terlakar fotografi lakaran indah dari Tuhan. Tasik dayang bunting yang jernih airnya menyimpan 1001 rahsia milik Allah. Tasik sedalam 10 meter itu kelihatan tenang memberikan ruang bagi ikan-ikan berenang kegembiraan.
Tidak ku sangka  masih ada tasik air tawar di dalam pulau yang dikelilingi laut masin tanpa airnya bercampur sedikitpun.
 Benarlah firman ALLAH dalam surah Ar-Rahman ayat 19 dan 20..” Dia (ALLAH) membiarkan dua laut mengalir yang keduanya bertemu , diantara keduanya ada batas yang tidak dilampaui masing-masing”
Menurut pakar geologi, tasik itu terbentuk berkurun abad lamanya. Tasik itu asalnya merupakan sebuah gua yang sangat besar lalu dengan izin Allah ia roboh dan membentuk lekuk yang dalam dan besar . Pabila hujan turun , seluruh kawasan itu ditenggelami air lalu membentuk tasik...begitulah kejadian alam yang sempurna disusun AL-KHALIQ.Kehebatan ciptaanNYA mampu mencipta kebisuan kepada makhluk yang memerhati.