Bingkisan suara Ombak membuatkan hati ini makin jatuh cinta pada keindahan ciptaanNYA..
23 disember 2011
Seperti sayup-sayup kudengar suara ombak memanggil aku untuk mendengar kisahnya. Air laut di sekelilingku kelihatan tenang sekali . Namun , suara ombak tetap mendayu memecahkan batu -batu di pantai . Dapat kusaksikan segulung ombak bersama-sama memecahkan batu di sekeliling pulau- pulau kecil itu. Niat mereka hanyalah satu , biarlah batu itu terhakis dan mengecil agar lautan bertambah luas terbentang . Hatiku tersentak pabila menggamati kisah ombak. Batu - batu yang gah di pinggir pulau akhirnya terhakis jua oleh ombak yang berasal daripada lautan yang tenang.
Kiniku sedar bahawa setiap impian yang tampak mustahil akan berjaya digapai andai usahanya istiqamah.
Pandanganku mula menular pada pulau- pulau kecil disekeliling Langkawi. Kata pemandu bot , pulau sebegini tidak berpenghuni. Melihat strukturnya sahaja sudah mustahil untuk didiami manusia. Pulau itu diseliputi batu-batu keras yang membentuk curam . Seluruh permukaannya hanya ditutupi tumbuhan hijau yang kukuh akarnya . Namun ciptaan Allah tidak akan ada yang sia-sia. Banyak burung-burung yang menghinggapi segenap pulau itu dan terus mengimbangi alam.
Ini kali pertama bagiku menaiki bot di tengah-tengah lautan dengan kedalaman hampir 25 meter aras laut. Menaiki bot sewaktu hopping di pulau langkawi benar-benar tidak mengecewakan.
Sekelilingku hanya lautan yang memendam seribu satu rahsia milik al-Khaliq. Andai di atas daratan ini dapat kusaksikan pelbagai hidupan yang berkongsi oxygen denganku , dapat kurasakan kehidupan di dalam lautan ini lebih banyak lagi yang masih belum terungkai.
Ketakutan memasuki setiap lubuk hatiku. Kiri , kanan , depan dan belakang ku adalah lautan yang ganas memukul bot ini. Andai aku lepaskan genggamanku daripada tiang bot ini , mungkin sahaja lautan ini bakal menelanku.Pada saat itu, aku terfikir beginilah kehidupan manusia yang sebenar. Segala-galanya menolak kita ke dalam lautan kelekaan . Sedikit sekali yang menahan kita dari terus terjatuh dipukul ombak. Namun apakah kita akan terus selamat andai bergantung kepada tangan yang menghulurkan . Kita akan terus kehilangan mereka yang selama ini memimpin erat tangan ini selagi kita tidak bergantung pada yang tidak mati. Kebahagiaan itu tidak akan dirasa puas andai matlamat hati bukan kerana Allah.itulah jiwa mutmainnah. Jiwa mutmainnah dapat digapai pabila kita kosongkan keinginan dan hanya menikmati apa yang sudah tersedia , sambil berusaha mencari dan meraih rezeki yang terjangkau daya.
Tangan ini pantas menulis kata2 indah namun untuk dikotakan payah sekali. Keasyikan dan keindahan dunia kadang-kala memakan diri ini untuk melupakan segala matlamat hati yang pernah terlakar. Sungguh aku ini hamba yang hina dan menghinakan kerana di saat islam memerlukan aku, aku pula tersenyum dihanyut mimpi sementara. Ya Allah andai umurku Kau panjangkan , peliharalah detik waktuku itu agar meraih redhaMU.
No comments:
Post a Comment