Cool WidgetsStun MeStun Me

Monday 2 April 2012

Sedarkah kita nikmat itu ujian?


~Apabila nikmat itu bertukar ujian~
Mawar itu cantik tapi ia berduri.


Kini genap 4 bulan...Cepat benar masa berlalu . Zaman penantian keputusan SPM juga telah berakhir. Aku tercari-cari apakah hikmahnya Allah tempatkan aku di sini? Selama 4 bulan aku duduk berehat di rumah , adakah ia berbaloi? Pernah seketika hati ini berasa sebal dan kesal kerana aku rasakan amalanku makin berkurang , walaupun masaku semakin bertambah. Padahal ,kehidupan yang sibuk dulu masih dapat aku aturkan untuk memperbaiki amalan sehari. Mengapa kini tidak? Soalan itu berlegar-legar di minda. Sehingga pernah aku terfikir, mengapa Allah tidak tempatkan aku di tempat yang dikelilingi orang soleh? Seperti sahabat-sahabatku yang lain, agar hati ini lebih terpelihara? Terbit rasa cemburu buat mereka. Mengapa Allah tidak pilih aku? Hampir setiap malam aku menangis , mencari di mana hilangnya kekuatan? di mana hilangnya ketenangan? di mana hilangnya kebahagiaan? Tidak sampai beberapa ketika aku menyelak surat cinta Allah (al-Quran) , hatiku tersentak kerana Allah menjawab segala pertanyaanku dalam surah an nisa' ayat 19
  "....... kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya"

 Benarlah Allah itu Maha Mendengar , Allah itu mendengar setiap keluh kesah hambaNYA.DIA tidak akan membiarkan hambaNYA kesepian dan kesedihan.Kini aku yakin Allah telah merancang sesuatu yang terbaik buatku. Hati dan jiwaku terasa disentuh dengan lembut sekali dengan tarbiah dari AR-RAHMAN.


Firman Allah ," Dia memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.Barang siapa diberi hikmah,sesungguhnya dia telah diberikan kebaikan yang banyak.Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal yang sihat." Surah al-baqarah _ayat 269.

Kini aku sedar hikmahnya. Allah berikan aku nikmat masa lapang , agar aku dapat melaksanakan tanggungjawabku sebagai anak sebaik mungkin . Kerana  selepas ini, mungkin  Allah akan aturkan sesuatu yang lain buatku sehingga masaku bersama ayah, ibu serta saudara-saudaraku lebih singkat berbanding kini. Ya, aku harus berbakti kepada mereka agar masa ini tidak aku buang dengan sia-sia. Inginku niatkan semua perbuatanku ini agar ia menjadi ibadah. Wahai Allah terimalah segala amalanku , walau aku tahu ia tidak sempurna dan serba kekurangan. Alhamdulillah, sesaat gelap yang dulu sudah berakhir. Kini Aku ikhlas dan redha menerima semua KetentuanNya kerna aku yakin DIA tahu apa yang terbaik . Aku juga faham bahawa segala kepahitan , kesenangan dan kebahagian akan berakhir. Jadi , harus aku syukuri semuanya.Sesaat dulu akan hilang dan sesaat yang baru akan muncul memberi sinar baru. Harus aku jadikan hari esok lebih baik dari semalam agar aku tidak lagi tersepit di celah-celah kegelapan nikmat masa. Begitu berat apabila nikmat itu menjadi ujian kerana mungkin kita tidak mampu mengurus nikmat agar ia menjadi berkat .
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Hati gersang ibarat mawar indah yang layu

Jika dulu, masa lapang itu dirasakan nikmat sekali,
 Andai dapat dinikmati setiap hari,
 Jika dulu,makanan yang sedap itu kelihatan nikmat sekali.
Andai dapat dinikmatinya setiap hari.,
Jika dulu, rebahkan badan yang lenguh duduk sekian lama menelaah itu nikmat sekali.,
Andai dapat dinikmatinya setiap hari,
Jika dulu, dapat beriadah  dan bergembira itu terasa nikmat sekali,
Andai dapat dinikmatinya setiap hari,
Kini Allah berikan nikmat masa lapang itu sekian kali,
Namun mengapa sekarang dirasakan nikmat itu berlalu pergi?
Segalanya seakan-akan biasa dan membosankan.
Sehingga akal tidak mampu untuk berfikir ,
Kemana harus ku bawa masa ini?
Akhirnya, masa itu kuserah pada nafsu,
Sehingga keseronokan itu kurasa setiap hari,
Namun masih tidak puas nafsu membawa masa pergi,
Sehinggakan masa itu berlalu pergi tanpa disedari,
Sehingga kini penyesalan tidak berguna lagi,
kerana masa tidak akan kembali,
dan nafsu semakin liar di hati,
sukar untuk kutundukkan kembali,
Kini, hanya tangisan untuk Rabbi,
Sebagai taubat di sudut hati yang ingin kembali.
                nukilan ~ fathin faziera bt mansor

Benarlah firman Allah,
 " Dan aku tidak menyatakan diriku bebas dari kesalahan kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan , kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku , Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun , Maha Penyanyang._surah Yusuf ayat 53.

1 comment: